KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Majlis Media Malaysia 2024 merupakan satu peristiwa penting dalam landskap media negara, kata presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong.
Bercakap di Forum HAWANA 2025 hari ini, Yong berkata Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia 2024 yang diluluskan oleh Parlimen akhir tahun lepas, adalah kemuncak kepada perbincangan bertahun-tahun lamanya yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri untuk memperkasakan pengamal media sambil memastikan akauntabiliti.
“Setelah bertahun-tahun dibincangkan, kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi, telah berusaha gigih untuk menubuhkan sebuah badan kawal selia kendiri yang memberi kuasa kepada pengamal media, dan pada masa yang sama memastikan wujudnya akauntabiliti.
“Akta ini diwujudkan bagi melindungi integriti kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang adil, dan menyediakan mekanisme berstruktur untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai amalan media,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.
Yong merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching, serta Menteri Digital Gobind Singh Deo yang merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, atas usaha mereka memperjuangkan Akta tersebut.
Beliau berkata Akta itu bertujuan untuk mengukuhkan standard etika dan memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kewartawanan sambil memastikan profesional dalam bidang itu mempunyai autonomi untuk mengawal selia sendiri.
Mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meningkat dalam kewartawanan, Yong mengakui potensinya dalam meningkatkan operasi bilik berita, namun mengingatkan agar tidak terlalu bergantung pada teknologi.
“Sementara AI membentangkan peluang menarik, ia mesti diterima pakai dengan bijak. Kewartawanan bukan hanya mengenai pemprosesan data, ia adalah mengenai pertimbangan manusia, ketelitian penyiasatan dan tanggungjawab etika,“ katanya.
Yong berkata AI harus bersifat melengkapkan, bukan menggantikan wartawan, dan cabarannya terletak pada penyepaduan teknologi secara bertanggungjawab untuk meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan media, tanpa menghakis nilai teras kewartawanan.
Forum HAWANA 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini membincangkan topik “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?”, diikuti dengan sesi perkongsian teknologi bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?”.
Forum anjuran bersama Bernama dan MPI itu juga menjadi platform penting bagi Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia menyuarakan pandangan mereka mengenai hala tuju industri pasca kelulusan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia 2024 di Parlimen Februari lepas.
HAWANA 2025, perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia dengan tema Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika anjuran Kementerian Komunikasi, dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
Acara berprestij itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL, kira-kira 12 tengah hari ini.