KUALA LUMPUR: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Merdeka hari ini membuktikan komitmen berterusan media dalam mengangkat profesion kewartawanan ke tahap lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata kejayaan penganjuran edisi kelima HAWANA itu merupakan hasil perancangan rapi sejak tujuh bulan lepas oleh warga kerja Bernama dengan sokongan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana persiapan kami sejak tujuh bulan lepas untuk memastikan kejayaan dan kelancaran majlis ini terbukti berjaya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja Bernama serta rakan strategik yang telah memberi kerjasama dan sokongan dari segi penajaan dan lain-lain.
“Kehadiran penuh di Dewan Merdeka hari ini membuktikan program HAWANA berjaya dan menerima sokongan besar daripada rakan-rakan media,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di sini hari ini.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana.
Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pengamal media dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Kuwait dan China telah berhimpun di ibu negara sejak Jumaat untuk acara kemuncak HAWANA 2025.
Mengulas inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu merasmikan majlis kemuncak itu, Nur-ul Afida berkata penekanan terhadap pemahaman teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta aspek etika kewartawanan adalah tepat pada masanya.
“Seperti yang selalu saya tekankan, kita tidak boleh mengetepikan teknologi kerana teknologi ini bertujuan membantu kita dalam konteks bidang kewartawanan. Baik wartawan, penyunting mahupun pereka grafik, semuanya boleh manfaatkan AI mengikut keperluan masing-masing.
“Tetapi pada masa yang sama, kita sebagai manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada AI. Gunakan ia sebagai alat bantu untuk mencapai matlamat, bukan untuk mengambil jalan pintas,” katanya.
HAWANA mula diperkenal pada 2018 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara dan tarikh 29 Mei dipilih mengambil sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.