KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya Hector Hevel mendedahkan bahawa beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi datuknya yang berasal dari Melaka.

Pemain berusia 29 tahun itu bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenai datuknya kerana beliau telah meninggal dunia.

“Itu datang daripada datuk saya. Beliau berasal dari Melaka, jadi ini bukan satu masalah dan setiap orang pasti ada kaitan.

“Daripada situlah orang ramai mula berbincang dengan kami dan berusaha untuk melengkapkan segala dokumentasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Untuk rekod, pemain kelab Portimonense SC itu adalah seorang daripada tujuh pemain warisan yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Hector membuat penampilan sulung yang cukup bermakna apabila menjaringkan gol pertama ketika menang 2-0 ke atas Nepal pada aksi pembukaan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia AFC 2027 di Stadium Sultan Ibrahim pada Mac lepas, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Pada masa sama, Hector turut mendedahkan beliau akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim hadapan.

Hector berkata beliau akan menyelidik lebih lanjut mengenai latar belakang keluarganya di Malaysia sebaik memulakan karier bersama juara Liga Super sebanyak 11 kali itu.

“Saya akan pergi (mencari maklumat mengenai keluarga saya) apabila saya bermain di JDT.

“Saya akan pergi ke tempat itu dan mengetahui lebih lanjut mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Hector turut meluahkan rasa teruja selepas dipanggil buat kali kedua bersama skuad Harimau Malaya dan tidak sabar untuk beraksi menentang Vietnam pada Selasa ini.

“Apabila saya dapat tahu mereka mahu saya kembali, saya sangat gembira dan teruja.

“Sudah tentu saya bermain pada perlawanan pertama dan ia berjalan lancar kerana kami menang. Panggilan kedua ini juga memberi keyakinan kerana mereka memerlukan saya sekali lagi,” katanya.