BUTTERWORTH: Polis telah mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Lee Boon Han yang berusia 31 tahun dan telah dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Rabu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail menyatakan pengesahan identiti itu dibuat berdasarkan pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai anaknya yang gagal dihubungi dan hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka di Paya Terubong.
Mangsa dikatakan ingin ke Perlis atas urusan kerja sebelum kehilangannya dilaporkan.
Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Seberang Jaya dan mangsa dipercayai dibunuh.
Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
Polis telah membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kes bunuh.
Semalam media melaporkan penemuan satu mayat lelaki tanpa identiti yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar.
Mayat ditemui oleh pekerja pembersihan saluran yang sedang menjalankan tugasan rutin di kawasan rumah pangsa berkenaan.
Pekerja tersebut kemudian melaporkan penemuan itu kepada pihak polis. – Bernama