KUALA LUMPUR: Implikasi kenaikan kadar tol dan pelaksanaan tarif elektrik baharu menjadi antara topik utama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Perkara ini dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen semasa sesi soal jawab lisan.
Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mempersoalkan kesan kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) meminta penjelasan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai matlamat jadual tarif elektrik baharu.
Beliau turut meminta keterangan berhubung dakwaan bahawa tarif baru itu membebankan rakyat.
Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk prosedur siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap aduan kenyataan di media sosial, seperti yang ditanyakan oleh Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi).
Pada sesi yang sama, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta penjelasan mengenai status program Wakaf Air yang dilancarkan sebelum ini.
Beliau juga bertanya sama ada program itu akan dimasukkan ke dalam Pelan Induk Sumber Air Negara atau Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Selain itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) membangkitkan isu perlindungan warga emas daripada pengabaian dan penderaan, meminta kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih menyeluruh.
Selepas sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat akan meneruskan perbincangan rang undang-undang seperti RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Perikanan (Pindaan) 2025, dan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-15 berlangsung sehingga 28 Ogos ini. - Bernama