ANKARA: Parlimen India pada Khamis meluluskan undang-undang yang melarang permainan dalam talian berasaskan wang, bagi menangani peningkatan kes ketagihan, pengubahan wang haram dan penipuan kewangan yang dikaitkan dengan aplikasi sedemikian, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Rajya Sabha, iaitu dewan tertinggi parlimen, sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Promosi dan Pengawalseliaan Permainan Dalam Talian 2025, lapor Press Trust of India.
Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India Ashwini Vaishnaw, bertujuan untuk mengharamkan semua bentuk permainan wang dalam talian, sambil menggalakkan pembangunan eSukan dan permainan sosial dalam talian.
Undang-undang itu turut melarang iklan untuk permainan wang dalam talian dan bank serta institusi kewangan lain turut tidak dibenarkan memproses sebarang transaksi wang yang berkaitan dengan permainan itu - BERNAMA-ANADOLU