• 2025-07-25 03:48 PM

JOHOR BAHRU: Dua bahan kimia yang terlibat dalam insiden kemalangan treler di Jambatan Link 2 diklasifikasikan sebagai kurang berbahaya dalam bentuk terkawal, namun berpotensi menjejaskan ekosistem marin dan keselamatan awam jika berlaku pelepasan secara tidak sengaja ke alam sekitar.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Faizuan Abdullah berkata risiko itu wajar diambil serius meskipun tiada pencemaran dikesan setakat ini susulan kemalangan dua treler membawa bahan kimia di Jambatan Link 2, Kilometer 0.8 Lebuhraya PLUS petang semalam.

Beliau berkata satu daripada treler membawa propylene glycol, sebatian organik larut air yang lazim digunakan dalam industri makanan, farmaseutikal dan sistem penyejukan.

“Propylene glycol secara amnya bertoksisiti rendah terhadap manusia dan haiwan, namun jika tertumpah ke laut dalam jumlah besar, ia boleh mengurangkan oksigen terlarut melalui proses biodegradasi, sekali gus mencetuskan hipoksia yang membahayakan hidupan marin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Satu lagi bahan terlibat ialah sodium hypochlorite, bahan peluntur dan disinfektan yang bersifat sangat oksidatif dan boleh memberi kesan toksik secara langsung kepada hidupan akuatik.

“Lebih membimbangkan, sodium hypochlorite boleh berinteraksi dengan bahan organik semula jadi dalam air lalu membentuk trihalometana (THM) iaitu sebatian toksik yang berpotensi karsinogenik dalam jangka panjang,” katanya.

Faizuan berkata pendedahan langsung terhadap bahan itu juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit, mata dan saluran pernafasan, terutamanya kepada anggota penyelamat, pengguna jalan raya atau komuniti berhampiran jika ia tidak dikawal dengan betul.

Justeru, beliau mencadangkan agar kawasan sekitar insiden segera diasingkan, pemantauan berkala terhadap kualiti air dan sedimen dilaksanakan serta penilaian risiko alam sekitar (ERA) dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Selain itu, komuniti nelayan dan penduduk pesisir wajar diberi amaran awal, manakala petugas di lokasi perlu dilengkapi dengan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi,” katanya.

Beliau turut memuji kesiapsiagaan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dilengkapi aset pengesanan kimia berteknologi tinggi.

Selain itu, beliau menyarankan agar aset-aset lain turut diguna pakai termasuk makmal bergerak milik Jabatan Kimia Malaysia yang dilengkapi sistem TD-GCMS serta aset seperti Gasmet FTIR dan Sistem Pengesanan Pengesan Gas Inframerah (SIGIS2) yang boleh mengesan gas dari jarak jauh dan menilai risiko penyebaran bahan kimia secara pantas di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada 5.41 petang semalam, dua treler yang membawa bahan kimia jenis propylene glycol dan sodium hypochlorite terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan satu daripada tangki muatan terjatuh ke laut. - Bernama