• 2025-07-06 01:38 PM

SUNGAI PETANI: Isteri seorang suspek lelaki berusia 34 tahun yang ditembak mati di Bandar Puteri Jaya malam tadi telah ditahan reman bagi membantu siasatan. Wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di rumah sewa pasangan berkenaan yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan mengesahkan penahanan itu dan menyatakan bahawa suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Julai. “Kita juga telah menjalankan pemeriksaan terhadap rumah suspek dan merampas sepucuk pistol,“ katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.50 malam tadi apabila suspek terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Bandar Puteri Jaya. Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus menyatakan suspek disyaki terlibat dalam jenayah dan mungkin mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang ditembak mati di Jitra semalam.