KUALA LUMPUR: Isu tanah dan penempatan Orang Asli antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Perundangan Orang Asli (MaPOA) hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat itu merupakan langkah penting bagi menyediakan asas kukuh untuk pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), yang tidak pernah melalui sebarang pindaan substantif sejak lebih 70 tahun lepas.
“Akses kepada pendidikan berkualiti, infrastruktur yang memudahkan kehidupan seharian dan peluang ekonomi yang lebih luas adalah matlamat yang akan terus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perjuangkan.
“Pindaan Akta 134 ini adalah peluang untuk kita menulis semula naratif pembangunan Orang Asli agar komuniti ini kekal teguh dan berdaya saing serta mampu melakar kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,“ katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Khas MaPOA di Bangunan Parlimen di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta wakil pihak berkepentingan.
Ahmad Zahid berkata kerajaan komited memastikan pindaan itu bukan sahaja memperkukuh perlindungan hak Orang Asli, malah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat tersebut.
Beliau berkata sesi libat urus melalui mesyuarat hari ini juga penting sebelum isu tanah Orang Asli dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya percaya, hak ke atas tanah bukan sekadar soal pemilikan fizikal tetapi lambang maruah, kesinambungan warisan dan kunci kepada kemajuan sosioekonomi komuniti ini.
“Walaupun pentadbiran tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap pindaan yang dicadangkan benar-benar mengambil kira kepentingan semua pihak serta selaras dengan dasar dan bidang kuasa negeri,“ katanya.
Menurut beliau, setakat ini lebih 1,000 sesi libat urus telah dilaksanakan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Batin, kerajaan negeri, ahli akademik, dan pertubuhan bukan kerajaan - BERNAMA