• 2025-07-29 06:08 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 171 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Masjid India. Operasi selama sejam itu melibatkan 160 pegawai yang memeriksa 758 individu termasuk 254 warga tempatan dan 14 premis perniagaan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Othman berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun. “Mereka ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,“ katanya.

Basri turut mendedahkan terdapat warga asing yang cuba menyamar sebagai pelanggan dan melakukan provokasi. “Anggota kami berada di kawasan itu sejak 10 pagi untuk mengenal pasti pekerja asing dan pelanggan sebenar,“ jelasnya.

Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Sementara Millenium di Beranang, Selangor. Operasi ini merupakan yang kedua di kawasan itu selepas 15 Februari lalu dan akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen. - Bernama