KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Terengganu menahan 13 pendatang tanpa izin termasuk empat kanak-kanak dalam operasi bersepadu di tiga daerah semalam.
Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata mereka terdiri daripada lapan warga Thailand, empat warga Kemboja dan seorang warga Bangladesh yang berusia enam hingga 58 tahun.
Beliau berkata 142 warga asing diperiksa dalam operasi bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dari 9 malam hingga 6 pagi itu, yang membabitkan pemeriksaan ke atas 11 lokasi termasuk pusat refleksologi, tapak pembinaan, restoran dan rumah persendirian.
“Selepas pemeriksaan kita menahan 13 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan, menyalah guna pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan yang sah,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Yusri berkata semua yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigressn 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu kita turut mengeluarkan notis kepada dua lelaki warga tempatan berusia 30 dan 39 tahun untuk membantu siasatan kerana dipercayai melindungi pendatang berkenaan,’ katanya.