MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka sedang memantau tiga jenis penyakit yang sering dikaitkan dengan jerebu berikutan beberapa kawasan di negeri itu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak Ahad lepas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata penyakit tersebut melibatkan asma, jangkitan selaput mata (konjunktivitis), dan jangkitan akut saluran pernafasan atas (URTI).
“Daripada analisis penyakit akibat jerebu yang dipantau, tiada trend kenaikan ketara bagi penyakit ini dari Minggu Epid (ME) 23 hingga ME 29. Namun, pemantauan masih diteruskan,“ katanya di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri.
Ngwe menegaskan kerajaan negeri sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan akan bertindak mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. Beliau turut menasihati orang ramai terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan pesakit kronik untuk mengambil langkah pencegahan.
“Kurangkan pendedahan kepada jerebu dengan berada di dalam bangunan, hadkan aktiviti luar, pakai pelitup muka, dan pastikan minum air yang mencukupi,“ katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk, atau jangkitan mata. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan. -Bernama