KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Polis Diraja Malaysia akan terus diperkukuh dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga kota sentiasa terjamin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu antara yang dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu Datuk Fadli Marsus hari ini.
Dr Zaliha berkata Kuala Lumpur sebagai ibu negara bukan sekadar pusat pentadbiran, malah merupakan nadi ekonomi dan budaya Malaysia yang perlu dipelihara keamanannya.
“Dalam pertemuan ini, kami membincangkan beberapa perkara berkaitan kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan dengan PDRM, termasuk usaha kawalan keselamatan awam serta inisiatif komuniti bagi melahirkan bandar raya yang lebih selamat, teratur dan harmoni.
“Saya ucapkan tahniah atas pelantikan beliau (Fadli) sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur. Saya juga menzahirkan penghargaan atas komitmen PDRM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terjamin,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kunjungan hormat delegasi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu berlangsung di Bangunan Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, hari ini.
Fadli yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa pada 11 Ogos lepas. – Bernama