JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini memberi jaminan bahawa penganjuran pesta seks bebas tidak akan berlaku di mana-mana lokasi di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam memastikan kegiatan tidak bermoral ini dapat dikekang.

Mohd Fared berkata meskipun akaun Twitter yang mempromosikan aktiviti tidak bermoral itu sudah ditutup, namun pihaknya akan terus memantau dan meneliti laman media sosial yang telah dikenal pasti turut terbabit.

“Apa juga tarikh yang dia buat ataupun tempat mana yang akan diubah, JAINJ bersama-sama PDRM Johor serius dalam memastikan perkara seumpama ini tidak akan berlangsung.

“Setakat ini, tiada ada lagi pesta seks lain dilaporkan, walau apapun perancangan pihak penganjur itu, kita akan tetap pastikan dia tidak boleh dilaksanakan, itu komitmen kita,“ katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Fared menggesa agar semua pihak segera melaporkan kepada PDRM atau JAINJ sekiranya mendapat maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Kita kena sama-sama mencegah. Benarkan polis buat kerja dan siasatan mereka, orang awam jadilah mata, kepala dan telinga kepada pihak berkuasa negeri dan polis, laporkan dan jangan bersubahat.

“Identiti (penganjur) telah pun diketahui, maka sembunyilah dekat mana sekali pun, kita akan tahu dan anda sedang diperhatikan.Terima kasih saya ucapkan kepada kehebatan PDRM kita yang dapat mengesan individu terbabit,“ katanya lagi.

Sebelum ini, tular poster berupa kad jemputan di sebuah akaun Twitter mengenai satu penganjuran pesta seks bebas di bandar raya ini.

Susulan itu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan memberi amaran keras kepada penganjur supaya membatalkan acara tersebut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. - Bernama