GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) merancang menyediakan kemudahan Internet di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di penempatan Orang Asli mulai tahun depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Sapiah Mohd Nor berkata usaha menerusi inisiatif pendigitalan pendidikan prasekolah itu bertujuan membolehkan anak-anak komuniti Orang Asli menikmati kemudahan pendidikan lebih moden dan seiring dengan keperluan semasa.

Beliau berkata inisiatif itu juga sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan komuniti berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sapiah berkata pada masa ini terdapat 20 Tabika KEMAS di Kelantan dan dua di Terengganu terletak di kawasan penempatan Orang Asli.

“Di peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kita (JAKOA) sedang merangka strategi pendigitalan pendidikan prasekolah di penempatan Orang Asli.

“Berdasarkan lawatan ke beberapa lokasi, terdapat tabika dan institusi pendidikan yang memerlukan perhatian khusus.

“Insya-Allah, kita akan sediakan kemudahan ini (Internet) berdasarkan skop dan peruntukan di bawah JAKOA,” katanya kepada pemberita sempena Program Mesra Rakyat di Kuala Wook di sini.

Sapiah berkata JAKOA sedang bekerjasama dengan KEMAS bagi mengenal pasti lokasi yang perlu diberi keutamaan, memandangkan kemudahan Internet dan liputan komunikasi adalah keperluan utama di kawasan pedalaman.