IPOH: Pembinaan jambatan Bailey bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River–Behrang Hulu yang runtuh akibat pergerakan kepala air, kini berada pada peringkat penyediaan pelantar atau tapak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melihat kesesuaian kedua-dua tebing sungai berkenaan sama ada ia milik tanah kerajaan, tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ataupun tanah individu.

“Selepas selesai, barulah JKR boleh membina jambatan, namun serpihan kayu-kayan dan sampah-sarap yang melekat di kawasan jambatan runtuh yang dibawa kepala air perlu dibersihkan terlebih dahulu,“ katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak di sini hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lepas, Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River–Behrang Hulu itu runtuh akibat pergerakan kepala air yang menyebabkan dua lagi jambatan di Slim River menerima nasib yang sama.

Mengulas mengenai dakwaan pembukaan tanah bagi kawasan pertanian di kawasan terbabit menjadi punca berlakunya kejadian kepala air di Ulu Slim, Muallim, Saarani berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada PLANMalaysia.

“Saya sudah memaklumkan (perkara itu) dalam mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada Isnin lepas dan PLANMalaysia akan mengambil tindakan kerana Kebenaran Merancang (KM) pertanian iaitu di luar bandar di luar kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia diuruskan oleh PLANMalaysia.

“Jadi, PLANMalaysia akan membuat kajian dan langkah-langkah betul (untuk menilai dakwaan itu),” katanya dan menambah kerajaan negeri juga akan mengenal pasti punca kejadian kepala air itu.