JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pinjaman wang tanpa lesen dengan penahanan lapan lelaki di sebuah rumah di Bandar Seri Alam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan kira-kira 9.30 pagi.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah komputer riba dan lapan telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan bagi menawarkan pinjaman kepada mangsa.

“Sindiket yang dipercayai baru beroperasi ini turut mempromosikan pinjaman di laman Facebook dengan menjanjikan proses mudah lulus dan mendapat wang tunai segera.

“Kesemua yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan sama iaitu pemberian pinjaman wang tanpa lesen, perjudian dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1951.