BAGAN DATUK: “Jangan guna agenda penyatuan Melayu sebagai gimik politik, terutama selepas mengalami kegagalan dalam pilihan raya,“ kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata UMNO tidak berhasrat untuk mempertikaikan mana-mana pihak yang ingin menubuhkan sekretariat untuk menyatukan parti Melayu, namun motif perjuangannya harus jelas dan bukan sekadar bertujuan dari segi politik semata-mata.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 juga berjaya mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ketika itu dan prinsip penyatuan Melayu secara keseluruhannya masih menjadi pegangan parti berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengerusi Sekretariat Orang Melayu dan saya berdoa mudah-mudahan beliau berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan NGO-NGO Melayu demi kepentingan umat Melayu.
“Mari kita bergabung yang penting dari segi fikrah, pemikiran dan jiwa nurani, bukan ada tujuan yang sebaliknya ... apabila partinya tidak ada seorang pemenang dalam pilihan raya yang lepas, apatah lagi hilang deposit semuanya, barulah mencari jalan untuk penyatuan Melayu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk Tahun 2025 di sini hari ini.
Pada 4 Jun lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam ucapannya berkata UMNO tidak akan menerima sebarang bentuk sekretariat yang kononnya bertujuan menyatukan orang Melayu atas asas politik.
Sementara itu, beliau berkata setiap ahli terutama pemimpin UMNO perlu kembali mengukuhkan parti selain menyedari perjuangan yang ditempuh penuh dengan pelbagai ujian.
Beliau berkata segala peristiwa yang berlaku sebelum ini juga perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan UMNO kembali mendapat tempat dalam hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
“Mana ada perjuangan yang tiada ujian? Seseorang yang berjaya menjadi pemimpin pasti diuji, kalau seseorang itu naik tanpa ujian dia akan pasti turun. Kita juga mesti berubah dan bina kekuatan baharu bagi memastikan kita kembali mendominasi PRU16,” katanya.