ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menjalankan siasatan berhubung dakwaan letupan kuari di Bandar Baharu sehingga menyebabkan kerosakan rumah penduduk di kawasan berhampiran.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di kuari dan rumah penduduk terlibat semalam, selepas menerima makluman, termasuk pertanyaan daripada pihak media.
“Merujuk kepada artikel media Jumaat lalu berhubung dakwaan berlaku letupan terlalu kuat di sebuah kuari di Bandar Baharu Rabu lalu, yang menyebabkan kerosakan kepada rumah penduduk berhampiran, kami telah membuat siasatan awal.
“Siasatan awal mendapati tiada aduan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden berkenaan kepada JAS. Semakan dengan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah juga mendapati tiada aduan diterima agensi tersebut,“ katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya semakan dengan pihak polis dibuat dan mendapati pengadu telah membuat laporan polis pada keesokan harinya susulan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada aktiviti letupan kuari tersebut.
“Semakan JAS terhadap rekod letupan kuari melibatkan paramater Peak Sound Pressure Level serta Peak Vector Sum mendapati tahap bunyi dan gegaran adalah mematuhi had ditetapkan. Pengukuran bunyi dan getaran dilaksanakan di lokasi rumah pengadu yang terletak kira-kira 650 meter dari kawasan letupan.
“Hasil perbincangan, pihak kuari menanggung kos membaiki kerosakan rumah pengadu walaupun, pihak kuari mematuhi zon penampan di mana jarak rumah ke kuari lebih 500 meter dan mematuhi had bunyi dan gegaran. Namun impak kepada perumahan penduduk tidak wajar diabaikan,“ katanya.
Sharifah Zakiah berkata pihaknya akan terus memantau dengan lebih kerap kaedah operasi kuari dan akan berbincang dengan lain-lain agensi dan akan mengesyorkan langkah-langkah pembaikan yang perlu diambil oleh pihak kuari bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.
“Susulan itu, Notis Arahan di bawah Seksyen 37 (1)(d) telah dikeluarkan untuk pemaju mengemukakan laporan peletupan dan kawalan peletupan yang dilaksanakan di tapak. Mereka juga diarahkan untuk sentiasa mematuhi semua syarat dan melaporkan sebarang insiden khususnya yang melibatkan konflik atau gangguan kepada penduduk.
“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS iaitu eaduan.doe.gov.my. Kelewatan aduan boleh menyukarkan siasatan kerana bahan bukti mungkin terjejas,“ katanya.