• 2025-08-14 04:09 PM

SHAH ALAM: Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik diharap dapat melahirkan generasi warganet beretika.

Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Zainah Rujihan berkata inisiatif ini sesuai dengan keperluan semasa untuk mendidik pengguna digital.

“Masyarakat tanpa mengira latar perlu jadi pengguna media yang beretika dan terpimpin,” katanya semasa merasmikan program itu.

Beliau menekankan peranan media dalam menyebar maklumat tepat tentang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Kolaborasi dengan media penting untuk memartabatkan TVET sebagai teras pembangunan negara,” jelas Zainah.

Pelajar semester lima Kejuteraan Mekanikal PSA Muslihuddin Farihin, 20, berkata program ini mengajar cara kenal pasti berita palsu melalui MyCheck.My.

“Saya harap rakan-rakan boleh lebih peka dengan isu semasa selepas ini,” ujarnya.

Pelajar Diploma Pemasaran V. Keertna Pilaay, 22, pula belajar teknik rakaman video berkualiti untuk kerjaya.

“Ilmu ini sangat berguna kerana saya hampir tamat pengajian,” katanya.

Jelajah HAWANA 2025 ialah sambungan kejayaan edisi 2024 yang melibatkan 16 universiti awam.

Edisi terkini diperluas ke politeknik bagi tingkat kesedaran media dalam kalangan pelajar pelbagai aliran. - Bernama