PUTRAJAYA: Jenayah Indeks Malaysia pada 2024 meningkat 11.1 peratus dengan 58,255 kes dilaporkan berbanding 52,444 kes tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam kategori jenayah harta benda dan jenayah kekerasan menurut Statistik Jenayah Malaysia 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Jenayah harta benda melonjak sebanyak 12.4 peratus kepada 47,188 kes manakala jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan 5.9 peratus kepada 11,067 kes.
Walaupun terdapat peningkatan keseluruhan, kes bunuh menunjukkan penurunan ketara dengan kes bunuh dengan niat menurun 9.5 peratus kepada 237 kes.
Kes penculikan juga menunjukkan sedikit penurunan kepada 17 kes dengan 11 daripadanya melibatkan kanak-kanak.
Jenayah seksual menunjukkan corak tidak konsisten dengan kes rogol meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes.
Kes samun menurun 6.8 peratus melibatkan jumlah keseluruhan 4,276 kes dengan majoriti melibatkan samun terhadap individu.
Kes pecah rumah dan curi juga menurun 1.8 peratus dengan 77.6 peratus daripadanya berlaku pada waktu malam.
Kes berkaitan bekalan dan memiliki dadah terus meningkat dengan kenaikan 10.6 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 81,090 kes.
Kes bekalan dadah meningkat sebanyak 4.6 peratus manakala kes pemilikan melonjak 12.7 peratus.
Tangkapan bagi kes suapan meningkat 24.6 peratus dengan 764 individu ditangkap.
Jenayah ekonomi semakin meningkat dengan 2,243 kes penyelewengan barang kawalan direkodkan meningkat 19.1 peratus.
Diesel merupakan barang paling banyak diseleweng diikuti petrol, minyak masak, gula, gas petroleum cecair dan tepung gandum.
Kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 71.1 peratus kepada 296 kes.
Kes berkaitan haiwan menurun kepada 12 kes termasuk kekejaman terhadap haiwan dan haiwan peliharaan.
Statistik pemulihan menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan banduan disabitkan kesalahan meningkat 28.4 peratus kepada 128,916 individu. – Bernama