PUTRAJAYA: Lima wanita warga Vietnam telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 kerana cubaan menggunakan cap pasport yang meragukan.
Cubaan mereka untuk meloloskan diri itu gagal susulan tindakan pantas pasukan pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 pagi apabila lima individu tersebut yang terdiri daripada tiga dewasa dan dua remaja diperiksa selepas didapati berkelakuan mencurigakan.
Semakan terhadap dokumen perjalanan mendapati cap keluar dan masuk pada pasport kesemua individu berkenaan diragui ketulenannya.
Cap tersebut dipercayai diperoleh secara tidak teratur menurut kenyataan rasmi AKPS.
Siasatan lanjut melalui Sistem MyIMMS mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk yang sepadan dengan cap pada pasport berkenaan.
Siasatan awal turut mendedahkan bahawa kesemua wanita itu tidak pernah meninggalkan Malaysia dan telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua individu berkenaan telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
AKPS memaklumkan pemeriksaan serta pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang cubaan menggunakan dokumen perjalanan palsu.
Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara terus terpelihara di semua pintu masuk utama. – Bernama