• 2025-10-16 08:44 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan menyokong penuh keputusan Persatuan Badminton Malaysia untuk menghantar skuad terkuat ke Sukan SEA Thailand 2025.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata langkah itu selaras dengan strategi negara untuk bersaing secara kompetitif di peringkat serantau.

Beliau menyatakan keputusan menamakan barisan utama termasuk dua juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dianggap wajar.

“Strategi sukan untuk kita menang, untuk kita bagi pendedahan tetapi kena pastikan itu bersesuaian dengan atlet kita,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang.

Beliau mengingatkan pengalaman di Kemboja menyaksikan Malaysia menghantar pelapis dan gagal meraih pingat emas badminton.

Hannah berkata isu keletihan pemain tidak menjadi kebimbangan utama walaupun Sukan SEA dijadualkan hampir dengan Jelajah Dunia Akhir 2025.

Beliau yakin BAM dan barisan jurulatih akan membuat pelarasan terbaik bagi menjaga prestasi atlet.

Skuad terkuat itu turut termasuk naib juara beregu wanita dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah.

Perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh turut disenaraikan bersama perseorangan wanita K. Letshanaa dan Wong Ling Ching.

Senarai pemain lengkap termasuk beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin juga antara pemain yang akan mewakili negara.

Kesemua pemain berkenaan juga akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan.

Aaron-Wooi Yik pernah meraih pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina.

Chen Tang Jie turut menggondol emas pada edisi 2021 di Vietnam ketika bergandingan dengan Peck Yen Wei.

Pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, skuad badminton negara sekadar meraih dua perak dan empat gangsa. – Bernama