KUALA TERENGGANU: Statistik jenayah seksual di Terengganu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, mendedahkan bahawa 108 kes dilaporkan berbanding 104 kes pada tempoh sama tahun lepas.
Jenayah seksual yang paling kerap berlaku ialah rogol dan sumbang mahram. Kes rogol meningkat kepada 41 kes berbanding 37 kes pada 2024, manakala sumbang mahram pula mencatat sembilan kes berbanding lima kes sebelumnya.
Mangsa terdiri daripada kanak-kanak berusia lima tahun sehingga remaja 27 tahun, dengan suspek berumur antara 15 hingga 72 tahun.
“Antara faktor penyumbang, kurangnya kepekaan ibu bapa tentang trend jenayah semasa melibatkan kanak-kanak serta kurang perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga sehingga mangsa takut untuk menceritakan perkara sebenar,“ kata Mohd Khairi.
Beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap penggunaan gajet anak-anak dan memantau aktiviti harian mereka. Masyarakat juga digesa melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, polis Terengganu berjaya menahan 14 suspek dalam Op Lejang Khas yang dijalankan dari 18 hingga 30 Jun lalu. Operasi itu menyasarkan jenayah harta benda dengan pemeriksaan ke atas 382 individu, 622 motosikal, dan 26 kereta. Sebanyak 25 motosikal dan sebuah kereta dirampas.
“Sebanyak 14 suspek lelaki, berusia antara 17 hingga 42 tahun yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil,“ jelas Mohd Khairi.