Your Title

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 14 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam operasi selama dua hari berakhir hari ini.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata operasi membabitkan 18 pegawai itu dilakukan di beberapa premis di sini iaitu di Kampung Kubang Tumang, Kampung Gaung Pendek, Kampung Keling Limbat, Kampung Sireh, Kampung Kok Pasir, Kampung Babong dan Kampung Gong Dermin.

Beliau berkata warga asing itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita warga Thailand, enam rakyat China termasuk seorang wanita dan kanak-kanak, dua wanita Kemboja dan masing-masing seorang lelaki Pakistan serta wanita warga Indonesia.

“Kesemua mereka berusia lingkungan dua hingga 53 tahun dan telah ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut ,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.