• 2025-09-19 04:19 PM

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas pelbagai barangan termasuk dadah dengan nilai RM43.25 juta dari 1 Jan hingga 31 Ogos, kata pengarahnya Ismail Hashim.

Beliau berkata rampasan itu melibatkan 98 kes dengan lapan kes dadah mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM23.25 juta, rokok elektronik (tiga kes, RM12.90 juta), barangan lain (36 kes, RM4.84 juta), barangan sejuk beku (tiga kes, RM1.09 juta) dan tayar (tiga kes, RM694,079).

“Selain itu, rampasan juga melibatkan ketum (enam kes, RM231,425), rokok (30 kes, RM121,091), mata wang (satu kes, RM65,000), mercun dan bunga api (tiga kes, RM16,741), barangan bersubsidi (dua kes, RM10,591) serta minuman keras (tiga kes, RM9,350),” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Padang Besar di sini hari ini.

Ismail menasihatkan orang ramai tidak terlibat penyeludupan dan membantu usaha JKDM membanteras kegiatan itu.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya - BERNAMA