GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengarahkan tujuh premis termasuk sebuah tadika ditutup dan sebanyak 167 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam Operasi Mega Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam Negeri Pulau Pinang (Ops Sental).
Menurut kenyataan JKN Pulau Pinang jumlah keseluruhan nilai kompaun yang dikeluarkan dalam operasi semalam itu adalah sebanyak RM43,600 dan ia bertujuan untuk menguatkuasakan empat undang-undang kesihatan awam.
Ia membabitkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2025 (Akta 342).
“Dalam operasi ini, sebanyak 175 premis dilawati di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan hasilnya, sebanyak 84 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM20,600 atas kesalahan merokok di kawasan larangan merokok, individu di bawah umur 18 tahun merokok dan pemilik premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok serta menyediakan kelengkapan merokok di premis larangan merokok.
“Notis kehadiran di mahkamah bagi tindakan pendakwaan turut dikeluarkan bagi dua kesalahan menjual rokok dalam paket terbuka dan satu kesalahan menjual rokok di bawah harga jualan minimum. Sebanyak 50 produk tembakau bernilai RM179 turut disita bagi kesalahan tersebut,“ menurut kenyataan itu malam ini.
Kenyataan tersebut memaklumkan sebuah tadika diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2025 selepas didapati berisiko menyebarkan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
Operasi disertai 243 anggota penguat kuasa JKN Pulau Pinang bersama agensi penguat kuasa yang lain iaitu Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Majlis Bandaraya Seberang Perai.