JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan supaya operator bas Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) memulakan operasi lebih awal iaitu pada pukul 4.30 pagi berbanding waktu sedia ada antara 5 hingga 5.30 pagi.
Cadangan ini dibuat susulan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas tersebut setiap bulan. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihaknya turut mencadangkan penambahan frekuensi perjalanan bas bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.
“Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), purata pertambahan penumpang bas ini antara 1,000 hingga 3,000 orang setiap bulan,“ katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Bagaimanapun, cadangan untuk memajukan waktu operasi bas perlu dibincang dengan Land Transport Authority (LTA) Singapura memandangkan perkhidmatan MRT di negara itu hanya bermula pada 5.35 pagi.
“Bagi cadangan penambahan trip pula, LTA akan berbincang dengan setiap operator kerana ia melibatkan kos dan operasi mereka,“ jelas Mohamad Fazli.
Beliau sebelum ini melakukan lawatan ke BSI pada jam 4 pagi bersama wakil LTA dan operator bas bagi memantau operasi kaunter serta keadaan penumpang yang beratur panjang.
Antara operator terlibat ialah Handal Indah Sdn Bhd, SBS Transit Ltd, SMRT Buses Ltd, Ridewell Travel Pte Ltd, The Singapore-Johore Expressway (Private) Ltd dan Transtar Travel & Tours Pte Ltd.
“LTA memaklumkan isu ini akan dibincang dan diputuskan tidak lama lagi. Bas Handal Indah pula menyediakan perkhidmatan 24 jam dengan minimum 30 minit setiap trip waktu biasa dan hampir 150 trip waktu puncak,“ tambahnya. - Bernama