IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak hari ini memperoleh RM129,800 hasil lelongan 50 kenderaan pelbagai jenis melalui sesi Pelelongan Awam yang diadakan hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ negeri Ab Aziz Awang Teh berkata lelongan kenderaan itu membabitkan 13 kereta, 28 motosikal, dua van, empat lori, dua bas serta sebuah semi treler.

“Sebanyak 26 kenderan yang dilelong boleh dilesenkan, manakala 24 kenderaan tidak boleh dilesenkan termasuk lapan kereta klon yang turut dilelong. Sejumlah 98 pembida mengambil bahagian dalam lelongan kali ini,“ katanya pada sidang media hari ini.

Ab Aziz berkata harga bidaan tertinggi membabitkan sebuah lori jenis Hino dengan nilai lelongan berjumlah RM25,300, manakala sebuah motosikal jenis Honda C70 pula dilelong dengan nilai paling rendah iaitu RM50.

Beliau berkata individu yang berjaya membida kenderaan hendaklah menyelesaikan urusan pertukaran hak milik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh lelongan selaras dengan Seksyen 13 Akta Pengangkutan Jalan 1987.