KUALA LANGAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempergiat rondaan serta pemantauan di seluruh negara sepanjang musim perayaan Deepavali yang disambut mulai Isnin depan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu diambil berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya sempena cuti perayaan yang berlangsung serentak dengan cuti sekolah mulai 18 hingga 22 Okt ini.
“Walaupun tiada operasi khas atau sekatan jalan raya dirancang, JPJ akan melaksanakan rondaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh berkenaan.
“JPJ juga akan bekerjasama dengan pihak konsesi lebuh raya bagi membantu melancarkan perjalanan orang ramai, khususnya yang pulang ke kampung sempena cuti panjang,” katanya pada sidang media Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting di sini, semalam.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata setakat ini, tiada larangan dikeluarkan terhadap kenderaan berat untuk menggunakan jalan raya termasuk lebuh raya sepanjang tempoh cuti berkenaan.
Beliau yang diiringi Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan turun padang menyertai Ops Khas JPJ Selangor yang diadakan dari 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan 2.67 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama pada hari puncak sambutan Deepavali, 20 Okt ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), diikuti Lebuhraya KL-Karak (170,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), LPT Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (170,000). - Bernama