• 2025-10-16 08:24 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat keputusan mengenai isu disiplin dan keselamatan membabitkan pelajar sekolah esok susulan laporan beberapa insiden tidak wajar sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengadakan perbincangan ringkas bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai perkara itu hari ini.

Beliau menyatakan perbincangan terperinci akan diadakan di peringkat Kabinet sebelum keputusan dibuat esok.

Anwar ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Semalam Perdana Menteri telah menyatakan langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah memerlukan intervensi segera.

Beberapa insiden serius membabitkan pelajar sekolah telah dilaporkan sejak akhir-akhir ini termasuk kes bunuh di sebuah sekolah di Bandar Utama Petaling Jaya.

Kes rogol membabitkan beberapa pelajar di Melaka dan Kedah juga telah menimbulkan kebimbangan.

Peningkatan kes buli di sekolah turut mendapat perhatian apabila data Kementerian Pendidikan menunjukkan sebanyak 7,681 kes direkodkan tahun lepas.

Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,528 kes yang dilaporkan pada tahun 2023. – Bernama