• 2025-07-23 03:11 PM

MELAKA: Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Melaka ditetapkan pada kadar RM1,279.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin menjelaskan kadar itu ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Kementerian Ekonomi.

“PGK itu ditetapkan berdasarkan Kajian Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas Isi Rumah yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Bagi Melaka, PGK diguna pakai ialah RM1,279 manakala Persekutuan sebanyak RM1,198 bagi seisi rumah yang dikeluarkan oleh EPU pada 2022,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang ingin tahu mengenai had pendapatan bagi pemohon bantuan JKM.

Kalsom menyenaraikan empat skim bantuan utama yang diberikan berdasarkan PGK tersebut, iaitu Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Am Negeri, dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Tidak Bekerja.

Bagi mereka yang melebihi kadar PGK, terdapat empat skim bantuan dan dua subsidi yang disediakan, termasuk Elaun Pekerja OKU (kelayakan RM1,700 ke bawah), Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik dan OKU Terlantar (kelayakan RM5,000 ke bawah), serta Bantuan Anak Pelihara dan Elaun Latihan Perantis yang tiada had pendapatan.

Selain itu, Subsidi Yuran Pembelajaran Kanak-Kanak Autisme (kelayakan per kapita RM4,000 ke bawah) dan Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-Kanak TASKA (kelayakan per kapita RM800 ke bawah) turut disediakan.

“JKM menyalurkan peruntukan sebanyak RM79.8 juta bagi membantu 29,247 penerima pelbagai bantuan sehingga Jun tahun ini,” jelas Kalsom. - Bernama