KUALA PILAH: Kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi menaik taraf kemudahan di Kampung Parit Seberang di sini yang dijadikan Kampung Angkat MADANI Ketua Polis Negara 2025.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pemilihan kampung itu dibuat oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berdasarkan penilaian tahap kemudahan yang memerlukan perhatian khusus.
Beliau berkata terdapat tiga kampung di bawah Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Seberang iaitu Kampung Parit Mainau, Kampung Parit Mungkal dan Kampung Parit Istana yang keseluruhannya berkeluasan 3.3 kilometer persegi.
“Suka saya kongsikan di sini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi Kementerian Kewangan bagi membiayai keseluruhan inisiatif menaik taraf kampung ini, tambahan pula ibu saya berasal dari sini.
“Selain merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, program ini menyediakan perkhidmatan kemasyarakatan yang terbaik melalui kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan universiti awam,“ katanya ketika berucap pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI 2025 Ketua Polis Negara di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Razarudin berkata antara projek yang dicadangkan ialah penambahbaikan bangunan, landskap dan pagar Surau Kampung Parit Seberang, membaik pulih serta penurapan jalan raya, pembaikan Balai Raya Kampung Parit Seberang dan pemasangan 20 lampu solar di sekitar jalan kampung berkenaan.
Beliau berkata kerja menaik taraf ini dipantau oleh JPJKK Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan diharapkan penambahbaikan ini dapat berjalan dengan tatakelola lebih baik.
“Besar harapan saya agar usaha kerajaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya demi keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat,“ katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Parit Seberang Hasnan Abd Malek, 55, berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih kampung itu sebagai Kampung Angkat MADANI Ketua Polis Negara.
“Pemilihan ini satu kelebihan bagi menyasarkan sifar jenayah. Alhamdulillah, ia dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung terutama dalam aspek keselamatan, setiap hari pasti ada polis membuat rondaan di kampung ini,“ katanya.