• 2025-07-18 09:08 AM

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan Selangor bakal mengalami lonjakan besar apabila kapal persiaran mewah dari China, Piano Land, memilih Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) sebagai pelabuhan tetap bermula suku keempat tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling menyifatkan langkah ini sebagai pemangkin ketibaan pelancong antarabangsa secara langsung ke negeri itu.

“Kapal ini mampu membawa kira-kira 2,000 penumpang. Pemilihan PKCT membuktikan fasiliti pelabuhan kita memenuhi piawaian industri,“ katanya selepas Majlis Surprising Selangor Media & Influencer Hi-Tea 2025.

Pelancong dari Piano Land bakal menikmati pakej eksklusif terus ke Pulau Ketam tanpa transit. “Kini, pelancong perlu ke Jeti Terminal South Port dahulu. Dengan laluan terus dari PKCT, mereka boleh meneroka hutan paya bakau, melihat helang dan kelong sebaik tiba,“ jelas Chua.

Inisiatif ini disokong pembangunan pakej pelancongan jangka pendek sekitar Klang dan Shah Alam, sesuai dengan tempoh persinggahan kapal. Tourism Selangor turut menganjurkan Selangor Travel Fair 2025 pada 26-27 Julai di Central Market, Kuala Lumpur, menampilkan 30 pempamer termasuk Farm Fresh dan Selangor Fruit Valley.

Exco Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata negeri itu menyasarkan lapan juta pelancong pada 2025 dengan resit RM11.2 bilion. “Sehingga Mac 2025, kita catat 1.77 juta pelawat dengan 72% domestik. Selangor kekal destinasi utama pelancong tempatan selama empat tahun berturut-turut,“ ujarnya - Bernama