• 2025-07-23 11:50 AM

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan kira-kira 34 kilogram (kg) ganja dalam dua operasi berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bulan lepas.

Pengarah Kastam Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata dalam operasi pertama pada 26 Jun, pihaknya merampas dadah jenis ganja seberat 18.75 kg bernilai lebih RM57,000 selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki.

“Dadah itu dijumpai dalam dua kotak yang disorok di bahagian belakang tempat duduk pemandu. Sehubungan itu, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan ialah menyeludup dadah bersama muatan dagangan sayur-sayuran pada lewat malam dengan andaian tiada pemeriksaan dijalankan oleh pihak kastam.

Dalam operasi kedua pada 28 Jun, dua lelaki yang menaiki bas ekspres dari negara jiran ditahan di laluan bas ICQS.

“Hasil imbasan menemukan 15 bungkusan kecil pelbagai saiz ketulan mampat dadah jenis bunga ganja seberat 875.3 gram dan ganja seberat lebih 14.59 kg bernilai lebih RM45,200,“ jelas Wan Marini.

Kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori mati jika sabit kesalahan.