KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) dalam menangani isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Setiausaha Bahagian, Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran KDN Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata kerajaan tidak boleh bertindak bersendirian kerana pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran adalah jenayah dinamik dan merentasi sempadan.
“Kita mempunyai penglibatan dengan Aseanapol dan Interpol untuk kes melibatkan penyiasatan. Pihak kita bekerjasama dengan agensi ini untuk mendapatkan maklumat dan menjejaki warga kita seperti isu penipuan pekerjaan yang berlaku di Hungary dua tahun lepas.
“Selain itu, kita mempunyai platform lain seperti Constructive Consultation dengan negara anggota Bali Process on People Smuggling, Trafficking in Persons and Related Transnational Crime. Kita bergerak aktif dengan penglibatan 42 negara anggota di wilayah berbeza,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata terdapat tiga struktur utama dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di peringkat Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) berperanan dalam penetapan dasar dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) yang merangka dasar melibatkan Pegawai Kanan dan Ketua Setiausaha Kementerian.
Sementara Ketua Unit Khusus Antipemerdagangan (HSU) berperanan dalam perkongsian maklumat, katanya.
“Kita ada 10 negara anggota Asean dan Malaysia terlibat aktif kerana negara kita dilihat ke hadapan dalam aspek perundangan, perlindungan dan penguatkuasaan,” katanya.