PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan telah dilaksana mengikut lunas undang-undang.
Menteri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semua pihak tidak perlu bimbang kerana setiap proses dilaksanakan secara tertib dan teliti oleh pihak berwajib.
Beliau menekankan bahawa proses tersebut selaras dengan ketetapan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau ditanya, nak keluh-kesah apa kalau kamu (Persatuan Bolasepak Malaysia) buat benda yang betul.”
“Ya, apa ukuran benda betul? Ikut Perlembagaan Persekutuan, ikut akta atau undang-undang yang ada dan ikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan,“ katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan KDN.
Saifuddin berkata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias juga telah meneliti setiap proses pemberian kewarganegaraan kepada pemain terbabit.
“Semua ikut tertib, kita jelaskan begitu melainkan kalau kita langgar semua itu, akta tolak ke tepi dan Perlembagaan tolak ke tepi... kita main rempuh.”
“Jadi, (sudah tentu) ada sebab untuk susah hati, (cuba) menyembunyikan suatu yang tak (ada) atau mengadakan benda yang tak ada,“ katanya.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain.
Dokumen tersebut membolehkan pemain diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sehubungan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560).
Setiap pemain juga digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut. – Bernama