• 2025-07-02 04:59 PM

NARATHIWAT: Proses keamanan di selatan Thailand terus mencatat perkembangan positif hasil pendekatan damai yang dilaksanakan oleh Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Selatan Thailand (ISOC4) Tentera Darat Thailand.

Kerjasama pelbagai pihak, termasuk Malaysia, turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan wilayah ini.

Pengarah Pusat Keamanan ISOC4, Mej Jen Chalemchai Suthinuan, berkata pendekatan bersepadu yang menekankan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi telah berjaya mengurangkan insiden keganasan.

“ISOC4 bukan hanya tertumpu kepada kawalan keselamatan semata-mata, tetapi juga mendekati masyarakat daripada peringkat kanak-kanak hingga warga emas melalui pendekatan yang aman,“ katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ISOC4 melaksanakan dasar ini melalui pembentukan sahsiah baik, pemikiran positif, peningkatan pendapatan, kesihatan yang baik, kelestarian alam sekitar, dan masyarakat yang bebas jenayah.

“Kami juga memberi fokus kepada lima bidang utama termasuk kawalan kawasan, penguatkuasaan undang-undang minimum, pengurusan isu dadah, kehidupan dalam masyarakat pelbagai budaya, serta penyatuan usaha pembangunan dan keselamatan,“ tambahnya.

Chalemchai menegaskan bahawa ISOC4 tidak bergerak bersendirian tetapi turut disokong oleh agensi lain seperti Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

“Tugas kami adalah membina pemahaman dalam kalangan penduduk dan memastikan setiap dasar kerajaan memberi fokus kepada penolakan keganasan,“ ujarnya.

Walaupun terdapat cabaran dalam mengekalkan keharmonian, Chalemchai melihat perubahan positif apabila masyarakat semakin memahami kepentingan keamanan.

“Masyarakat mula sedar bahawa keamanan membawa kebaikan kepada ekonomi dan kehidupan mereka,“ katanya.

Mengenai kerjasama dengan Malaysia, Chalemchai menyifatkan usaha bersama di kawasan sempadan sebagai sangat baik.

“Kerjasama Malaysia sangat baik, termasuk dalam latihan dan program bersama. Lebih penting lagi, Malaysia kini sebagai Pengerusi ASEAN pasti mahu melihat kawasan ini aman,“ katanya.

Beliau turut menyebut pembinaan jambatan kedua di Sungai Golok sebagai simbol kerjasama erat antara kedua-dua negara. Chalemchai berharap laporan media, terutamanya media sosial, lebih tepat agar tidak mengelirukan masyarakat tentang situasi sebenar di wilayah selatan Thailand.