• 2025-07-14 04:59 PM

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui cabaran unik dalam memerangi sindiket dadah rentas sempadan memandangkan negeri ini berkongsi sempadan darat dengan negara jiran.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan bahawa penguatkuasaan tegas dan kerjasama pelbagai agensi diperlukan bagi menangani isu ini secara menyeluruh.

“Tangkapan besar-besaran oleh PDRM dengan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit membuktikan keberkesanan operasi di lapangan.”

“Tidak perlu ada persepsi negatif terhadap Kelantan kerana tindakan tegas sedang diambil,“ katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mohamed Fadzli menjelaskan bahawa faktor geografi seperti laluan tikus dan kewujudan sindiket antarabangsa menjadikan usaha membanteras dadah lebih mencabar.

Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain bagi memperkukuh pencegahan di peringkat akar umbi.

“Kita yakin dengan pendekatan holistik dan kerjasama erat, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas dadah meskipun berdepan cabaran besar,“ tambahnya.

Baru-baru ini, polis berjaya menumpaskan dua sindiket dadah utama dengan rampasan bernilai RM3.1 juta dan RM5.04 juta dalam operasi berasingan di Pasir Mas dan Tumpat. – Bernama