• 2025-07-21 05:19 PM

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) berhubung penganjuran satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang diadakan di Kelantan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pertemuan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu secara berhemah dan mengelakkan dakwaan tidak berasas.

“Mungkin kesilapan yang dibuat itu bukan kesalahan penganjur, (tetapi) kesalahan diri sendiri, mungkin juga ... sebab itu saya kata ia mesti disiasat dahulu supaya pihak polis juga tidak dipersalahkan oleh masyarakat ... kita takut ada yang teraniaya sebab polis buat kerja dia, sebelah sini pun (MAC) ada tanggungjawab dia,“ katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang program yang bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan nilai masyarakat Kelantan tidak akan diterima.

“Apa sahaja program yang nak dibuat kalau ia bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan adab orang Kelantan kita memang tidak boleh terima. Kalau ada program-program yang menyentuh sensitiviti ditambah pula dibuat di kawasan penempatan penduduk kampung, minta dulu kebenaran daripada pihak yang terlibat seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), polis dan sebagainya,“ jelasnya.

Sebelum ini, polis Kelantan menyerbu satu program berkaitan LGBT yang melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan pasukan khas.

MAC dalam kenyataan media menjelaskan bahawa program tersebut merupakan sesi outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan HIV. - Bernama