• 2025-07-23 03:13 PM

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang meneroka pelbagai sumber hasil baharu termasuk perlombongan unsur nadir bumi (REE), tenaga baharu serta penerokaan karbon dan hidrogen bagi menjana pendapatan tambahan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada hasil tradisi. Kelantan merupakan negeri kedua paling banyak mempunyai sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

“Kerajaan negeri tidak boleh bergerak terlalu pantas dalam beberapa perkara kerana perlu mematuhi undang-undang dan dasar yang ditetapkan di peringkat Persekutuan,“ katanya.

Beliau turut menyatakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini berada di peringkat akhir untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Iklim Negara. Dasar pasaran karbon kebangsaan pula dijangka diluluskan pada penghujung tahun ini.

Selain itu, kerajaan negeri memperkenalkan polisi monetari dan bukan monetari melalui beberapa enakmen bagi memperkukuh hasil negeri. Antaranya ialah enakmen penggunaan tanah, infrastruktur dan utiliti yang berjaya mengumpul hasil sebanyak RM12.1 juta dari 2022 hingga Jun 2025.

“Kutipan ini termasuk perkhidmatan menara telekomunikasi, audit menara, pembetungan air dan elektrik. Bagi sektor pertanian, Enakmen Pertanian Negeri 2022 sedang dalam proses pelaksanaan,“ jelas Mohamed Fadzli.

Melalui polisi bukan monetari, Jawatankuasa Kawal Selia telah merancang dan menyelaras pelbagai projek pembangunan yang menjana kutipan RM52.4 juta dari 2019 hingga 2024. - Bernama