PUTRAJAYA: Artis vateran akan menjadi keutamaan dalam majlis atau program Kementerian Komunikasi bagi membuat persembahan untuk memastikan golongan berkenaan dapat terus berkarya.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa telah dimaklumkan bagi melaksanakan pendekatan itu, selain ia turut disarankan untuk dilaksanakan di peringkat agensi dan jabatan di bawah kementerian.
“Sebarang majlis anjuran Kementerian Komunikasi yang memerlukan kehadiran artis luar, perlu mengutamakan artis veteran... sila pertimbangkan dan beri peluang artis veteran terus tabur bakti kepada negara dan beri mereka peluang selain (ia) menggalakkan mereka berkarya.
“Inisiatif ini dapat meringankan beban artis veteran yang sering kali kita lihat menempuh hari-hari sukar dan mencabar, usaha ini bersesuaian dengan inisiatif kementerian yang akan sentiasa menyantuni masyarakat, khususnya mereka yang pernah menghiburkan kita pada satu masa dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di sini hari ini.