GEORGE TOWN: Kementerian Perpaduan akan menyegerakan dan mewujudkan Anugerah Tokoh Khas Permuziuman Negara yang merupakan antara anugerah prestij di bawah Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kata Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata ketika ini, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sedang dalam peringkat memuktamadkan kertas cadangan bagi anugerah berkenaan dan berharap ia menjadi realiti pada tahun akan datang.

Aaron berkata kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai penjaga warisan.

“Institusi muzium di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jati diri dan perpaduan masyarakat yang sihat. Identiti Malaysia sememangnya terkenal di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara dengan kepelbagaian.

“Justeru, institusi permuziuman di Malaysia harus memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan dan melindungi khazanah sejarah dan budaya, sekali gus menjadi ejen pengukuhan jati diri rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 peringkat Kebangsaan di Konvesyen Spice Arena dekat sini malam ini.

Majlis penutup HMA 2024 itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Sementara itu, Aaron juga mengumumkan agar Program Bermalam di Muzium yang merupakan program tradisi JMM sejak 2007 melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara, diluaskan kepada belia hingga umur 30 tahun pada tahun ini.

Beliau berkata program terbabit akan dilaksanakan pada 30 hingga 31 Ogos bagi kategori pelajar, manakala kategori belia pada 12 hingga 13 Okt ini serta menyasarkan penglibatan 30 muzium berbanding 25 muzim pada tahun lepas.

Beliau berkata Festival HMA merupakan program di bawah inisiatif Citra Nusa@Muzium yang merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran terhadap khazanah warisan negara dalam kalangan generasi muda.

HMA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 13 hingga 22 Mei di Dewan Sri Pinang, GeorgeTown dekat sini, menyaksikan penyertaan daripada 38 agensi, institusi dan muzium serta menarik kunjungan 200,000 pelawat secara fizikal dan dalam talian.