KUALA LUMPUR: Kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga RM10,000 untuk menunaikan haji kepada penjawat awam yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dapat membantu lebih ramai bakal jemaah mencukupkan jumlah simpanan haji mereka.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad berkata inisiatif itu selari dengan usaha TH yang giat meningkatkan kesedaran pendeposit untuk meningkatkan kadar simpanan bagi melancarkan urusan ibadat haji.
Beliau turut berharap agar sokongan kerajaan dalam mengukuhkan kepentingan bakal jemaah dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu perjalanan ibadat haji yang mabrur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan kemudahan pengeluaran awal GCR diperluaskan bagi tujuan menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta.
Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Novel Lyndon menyifatkan inisiatif itu sebagai pendekatan yang progresif.
Beliau berkata ia memberi peluang kepada penjawat awam yang telah lama berkhidmat untuk menggunakan hak mereka dengan lebih fleksibel, khususnya dalam memenuhi keperluan spiritual.
Pengumuman ini mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangkan keperluan ekonomi, sosial dan kerohanian rakyat khususnya penjawat awam.
Beliau berkata langkah kerajaan meningkatkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menunaikan haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 merupakan inisiatif yang memberikan lebih banyak ruang kepada umat Islam melaksanakan rukun Islam kelima.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata kemudahan pengeluaran awal GCR untuk menunaikan haji menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keseimbangan antara kesejahteraan duniawi dan rohani penjawat awam.
Penjawat awam Qistina Izfarina Ahmad Fahmi, 32, menyambut baik inisiatif tersebut kerana dapat membantu penjawat awam membuat persiapan kewangan untuk menunaikan haji.
Langkah ini memberi peluang kepada penjawat awam menunaikan rukun Islam kelima pada usia lebih muda dan ketika masih sihat serta berdaya. – Bernama