IPOH: “Anak perempuan saya hari-hari menangis dalam tidur. Berulang kali dia tanya saya kenapa lori itu langgar ayah sampai ayah mati?.”

Itu luahan Nur Aini Samiun, 44, isteri kepada Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan pada 13 Mei lepas.

Nur Aini berkata ketiga-tiga anaknya Muhd Raqin Najmi, 13, Muhd Rizqi Nazhan, 9, serta Nur Aqeela Rawida, 6, sangat rapat dengan Allahyarham.

“Kalau ikutkan, saya uruskan anak-anak manakala arwah (uruskan) bab kewangan. Jadi, bila (arwah) sudah tiada saya kena ambil alih semua tanggungjawab itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di kediamannya di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Nur Aini berkata Allahyarham suaminya merupakan seorang yang disenangi ramai dan sanggup mengambil cuti untuk menjaga ibu bapanya semasa sakit hingga kedua mereka meninggal dunia.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata tiga anak Allahyarham Mohd Roslan layak menerima manfaat berjumlah RM193,000 melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) hasil simpanan menerusi dua produk iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Dalam pada itu, Nur Aini berkata arwah suaminya sentiasa beringat mengenai masa depan dengan membuat simpanan terutamanya untuk ketiga-tiga anak mereka.

“Sebab kami bukannya ada pendapatan yang tinggi, bukannya ada banyak harta dan saya pula tidak bekerja. Jadi simpanan seperti ini (SSPN) boleh bantu sedikit sebanyak (kehidupan pada masa akan datang,“ katanya.

Kemalangan pada 8.50 pagi 13 Mei itu menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.