PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melonjak 53.2 peratus dalam tempoh empat tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah ini melibatkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Statistik menunjukkan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada 2024, iaitu peningkatan 53.2 peratus. Jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 kepada 3,988 orang, iaitu lonjakan 55.7 peratus,“ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara.
Ahmad Zahid menekankan bahawa perkembangan teknologi turut menyumbang kepada modus operandi jenayah yang lebih canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital.
Antara langkah proaktif yang dirancang ialah penganjuran Seminar Perlindungan Kanak-Kanak pada November depan bagi menangani ancaman siber dan jenayah seksual.
Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan Dasar Sosial Negara 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026-2030 yang kini di fasa akhir.
Isu gelandangan yang mengalami gangguan mental turut dibangkitkan, dengan sokongan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan pasukan petugas membina rumah jagaan psikiatri.
Selain itu, mesyuarat turut meneliti ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan. Seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor tidak setaraf kelayakan mereka.
Inisiatif MyMAHIR telah dilancarkan dengan 66 program latihan berteraskan industri diluluskan, termasuk sektor semikonduktor, AI, dan ekonomi hijau. - Bernama