• 2025-08-25 08:56 PM

IPOH: Naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman telah diserahkan sementara kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi tujuan pendigitalan dan pameran umum.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyatakan naskhah itu merupakan bukti ketekunan dan kesungguhan Allahyarham menyalin ayat-ayat suci al-Quran sepanjang tempoh pengajiannya di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

“Proses pendigitalan bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.

Ketua Pustakawan UPSI Noriha Muhammad menjelaskan kerja pendigitalan dilaksanakan sepenuhnya oleh petugas Perpustakaan Digital UPSI menggunakan imej resolusi tinggi supaya setiap helaian direkodkan dengan tepat dan jelas.

Noriha menekankan proses pendigitalan mushaf al-Quran Nurly dilaksanakan dengan beberapa tujuan utama iaitu memastikan naskhah tulisan tangan tersebut dapat dipelihara dengan baik untuk jangka masa panjang.

“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah,“ katanya.

Mushaf al-Quran Nurly dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.

Pameran ini membuka ruang kepada orang ramai yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk melihat naskhah tersebut di Besut, Terengganu, menelusuri sendiri hasil usaha seorang anak muda yang gigih menulis keseluruhan mushaf al-Quran beliau.

“Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah,“ ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, Nurly Shahirah dan 14 lagi pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat di Gerik. – Bernama