KUALA LUMPUR: Kerajaan terus mempergiat usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual melalui penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan yang lebih menyeluruh.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Reformasi Undang-Undang) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Thiyagu Ganesan berkata beberapa pindaan penting telah dibuat terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 pada 2023.
Antaranya termasuk menukar istilah pornografi kanak-kanak kepada bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta memperkenalkan kesalahan baharu seperti penstriman langsung jenayah seksual.
“Selain itu, baru-baru ini kerajaan meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang meletakkan tanggungjawab kepada platform digital untuk menghapuskan kandungan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Bagi memperluas akses kepada keadilan, kerajaan telah menambah jumlah Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak kepada 81 di seluruh negara.
“Kami juga memperkenalkan konsep mahkamah bergerak yang mesra kanak-kanak dengan bilik saksi khas supaya kanak-kanak tidak perlu ke mahkamah fizikal,” jelasnya.
Thiyagu turut menekankan kepentingan latihan khusus kepada pendakwa raya, hakim dan peguam bagi meningkatkan kecekapan mengendalikan kes melibatkan kanak-kanak.
BHEUU juga sedang memperluas kempen kesedaran berkaitan Seksyen 19 yang mewajibkan semua pihak melaporkan kes jenayah seksual kanak-kanak.
Mengenai Akta SUHAKAM 1999, beliau berkata pindaan pada 2023 telah mewujudkan jawatan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak secara sepenuh masa bagi memperkukuh fungsi semak dan imbang.
“Peranan mereka adalah memberi bantuan, komen dan cadangan terhadap dasar kerajaan berkaitan perlindungan kanak-kanak,” katanya. – Bernama