• 2025-07-29 02:03 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan atau diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Langkah ini bertujuan mengawal penyebaran maklumat palsu dalam media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara pelabelan yang dicadangkan ialah AI Generated atau AI Enhanced bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang menggunakan teknologi AI.

“Kita lihat langkah ini boleh dilaksanakan melalui Akta 868 atau Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dan kita jangkakan setelah beberapa peraturan disiapkan oleh pihak MCMC, insya-Allah ONSA dapat berkuat kuasa pada hujung tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung langkah kementerian menangani lambakan kandungan AI deepfake dalam media sosial.

Fahmi turut menekankan tanggungjawab platform media sosial dalam mengawal penyebaran kandungan deepfake. “Platform-platform media sosial mempunyai satu tanggungjawab ... mereka tidak boleh membiarkan kandungan-kandungan bersifat deepfake ini disebar dengan sedemikian rupa,” katanya.

Mengenai prosedur siasatan MCMC, Fahmi menjelaskan ia dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bermula daripada penerimaan laporan maklumat pertama (FIR) sehingga rujukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Bagi kes yang disiasat, satu notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 boleh dikeluarkan terhadap individu berkaitan ... sekiranya terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan individu berkenaan dengan kesalahan yang disiasat, peranti komunikasi milik individu itu boleh disita,” jelasnya. - Bernama