IPOH: Kerajaan tidak pernah berbincang untuk menukar status agama Islam sebagai agama Persekutuan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tuduhan jelik pihak pembangkang yang memainkan isu tersebut disifatkan pemalsuan fakta dan boleh mencetuskan kebencian.
“Ini khayalan apa? Tidak ada, Datuk Seri Saarani (Saarani Mohamad) ada di Ipoh (di sini), KSN (Ketua Setiausaha Negara) ada di sini.
“Kita tidak pernah bincang untuk mengubah prinsip sama ada (berkaitan) bahasa atau Islam atau hak keistimewaan Melayu Bumiputera, atau kedudukan Raja-Raja. Tidak ada, tidak pernah sepanjang saya jadi perdana menteri, tidak pernah dibincang atau disuarakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
Anwar berkata pembangkang seharusnya menghentikan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menghasut dan mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan dengan menggunakan isu agama dan bangsa.
Katanya semua pihak boleh bersuara mengkritik kerajaan, namun bukan dengan menyebarkan penipuan kepada rakyat.
“Kritiklah dasar ekonomi, isu ringgit, atau PM tidak bijak, tetapi tidak boleh khianat dan menyebarkan cerita seolah-olah apa yang kita lakukan merosakkan bangsa dan agama,“ katanya.
Beliau berkata pembangkang sepatutnya bersama-sama dengan kerajaan dalam memelihara kestabilan dan keharmonian negara yang wujud kerana keamanan negara dikekalkan.
Katanya kestabilan ekonomi negara dianggap hebat dan disegani lawan dan kawan kerana negara mempunyai dasar yang jelas.
“Berbeda pendapat dalam politik itu biasa, semua orang bebas untuk bicara, tetapi haruslah penuh tanggungjawab. Jika tidak, akan timbul budaya cemas dan takut, seolah-olah anak kecil ditakutkan degan hantu yang tidak wujud,“ katanya.